J-35A Jadi Tulang Belakang Strategi “Kill Chain” China — Pakistan Peroleh 40 Unit Untuk Tandingi India
Pengumuman itu dibuat melalui China Daily dan dinyatakan oleh Wang Yongqing, pereka pesawat kanan di syarikat milik negara, Aviation Industry Corporation of China (AVIC), yang menegaskan bahawa pesawat J-35A direka khas untuk mengesan dan memintas ancaman sukar seperti pesawat pejuang halimunan serta peluru berpandu kruis berprofil rendah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam langkah berani yang mencerminkan perubahan besar dalam doktrin ketenteraannya, China kini secara rasmi meletakkan pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A sebagai nadi utama dalam rangkaian “kill chain” —sebuah konsep peperangan moden yang menggabungkan proses pengesanan, keputusan dan pemusnahan dalam satu sistem operasi masa nyata yang bersepadu.
Pengumuman itu dibuat melalui China Daily dan dinyatakan oleh Wang Yongqing, pereka pesawat kanan di syarikat milik negara, Aviation Industry Corporation of China (AVIC), yang menegaskan bahawa pesawat J-35A direka khas untuk mengesan dan memintas ancaman sukar seperti pesawat pejuang halimunan serta peluru berpandu kruis berprofil rendah.
Menurut Wang, “J-35A boleh mengunci sasaran, berkongsi data lokasi sasaran dengan sistem senjata lain seperti peluru berpandu permukaan ke udara, malah menggunakan radar sendiri untuk membimbing senjata lain mengenai sasaran,” sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai pemburu halimunan dan pengganda kuasa (force multiplier) merentasi darat, udara dan laut.
Perkembangan ini menandakan perubahan besar dalam pendekatan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAAF), yang kini bukan sahaja menggantikan pesawat lama, malah menyusun semula keseluruhan struktur pertahanan udara melalui integrasi konsep “kill chain” moden.
Konsep “kill chain” atau rantaian bunuh ini merangkumi enam peringkat utama iaitu mengenal pasti, menjejak, mengunci, menyasarkan, menyerang dan menilai kerosakan, di mana J-35A bertindak sebagai pemangkin utama dalam setiap peringkat melalui keupayaan penyerapan sensor, kehalimunan, sasaran jarak jauh dan komunikasi rangkaian antara elemen udara dan darat.
Wang turut menjelaskan bahawa J-35A akan menjadi “tulang belakang” armada pesawat pejuang masa depan China—dan bukan sekadar untuk pasaran eksport—menunjukkan betapa seriusnya Beijing dalam menjadikan pesawat ini sebagai aset utama strategi ketenteraan dan pencegahan masa depan mereka.
Namun begitu, dalam satu kejutan geopolitik yang boleh mengubah imbangan kuasa serantau, Pakistan dilaporkan telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 40 unit J-35A, dengan penghantaran dijangka bermula “dalam beberapa bulan akan datang.”

Perolehan besar-besaran ini dijangka merevolusikan keupayaan Pakistan untuk membina rangkaian “kill chain” tersendiri yang lebih tersusun, lantas meningkatkan keupayaan negara itu untuk menyaingi dominasi udara India.
Dengan menggabungkan J-35A yang halimunan bersama pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C), radar anti-halimunan YLC-8B, serta peluru berpandu jarak jauh PL-15E, Pakistan kini berada di landasan untuk membentuk rangkaian serangan udara bersepadu yang boleh bertindak balas pantas dan bertahan dalam pelbagai senario konflik di barat benua kecil Asia Selatan.
Langkah ini memperlihatkan niat jelas Islamabad untuk mengadaptasi doktrin peperangan berpusat rangkaian ala-China, yang membolehkan koordinasi pelbagai platform untuk mengesan, menjejak dan menyerang aset Tentera Udara India (IAF) sebelum mereka sampai ke sasaran strategik.
Konflik Pakistan-India baru-baru ini di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) dan sektor Pahalgam telah menyaksikan Pakistan mula menguji konsep ini, apabila pesawat J-10C dan pesawat AEW&C negara itu dilaporkan telah bekerjasama secara langsung untuk menyalurkan maklumat sasaran masa nyata bagi serangan peluru berpandu luar jarak penglihatan (BVR).
Pemerhati ketenteraan Amerika Syarikat, Michael Dahm, dari Mitchell Institute for Aerospace Studies, turut mengulas dalam satu temu bual bersama Air & Space Forces Magazine, bahawa keupayaan Pakistan untuk membina “kill chain” bersepadu dalam keadaan pertempuran sebenar kini menjadi komponen utama dalam doktrin peperangan udara negara itu.
Menurut beliau, “Pakistan mampu menggabungkan radar darat, jet pejuang dan pesawat amaran awal ke dalam satu sistem operasi bersatu,” merujuk kepada tahap profesionalisme dan kematangan operasi Tentera Udara Pakistan (PAF) yang semakin menonjol.

Beliau menambah, “Tentera Udara Pakistan melancarkan serangan yang mana ‘A’ dilancarkan oleh ‘B’ dan dibimbing oleh ‘C’ sebelum mengenai sasaran,” merujuk kepada laporan terperinci bertarikh 12 Mei oleh China Space News, sebuah penerbitan yang dikaitkan rapat dengan industri pertahanan China.
Dahm menjelaskan bahawa kejayaan konsep “kill chain” ini tidak bergantung kepada kekuatan satu-satu platform semata-mata, tetapi kepada tahap integrasi antara elemen penderia dan pelancar serangan dalam satu rangkaian komunikasi masa nyata.
Dalam konflik moden yang bergerak pantas, di mana milisaat boleh menentukan kejayaan atau kegagalan misi, konsep “kill chain”—yang meliputi keseluruhan kitaran dari pengesanan hingga penilaian kerosakan—telah menjadi nadi utama dalam operasi ketenteraan abad ke-21.
Berdasarkan konflik udara terkini antara India dan Pakistan, Dahm percaya bahawa urutan “kill chain” itu bermula apabila radar darat atau sistem pertahanan udara Pakistan mengesan kehadiran pesawat IAF yang memasuki ruang udara sensitif.
Maklumat itu kemudiannya dipindahkan ke pesawat J-10C yang berada dalam operasi hadapan, dan seterusnya melancarkan peluru berpandu BVR jarak jauh ke arah sasaran.
Fasa bimbingan peluru berpandu semasa pertengahan laluan (midcourse) pula dikendalikan oleh pesawat AEW&C melalui pautan data selamat (encrypted datalinks) yang membolehkan trajektori peluru berpandu dilaras bagi memastikan kebarangkalian musnah maksimum.

“Ia merupakan tembakan luar jarak penglihatan jarak jauh (long-range BVR), kemungkinan besar menggunakan varian eksport PL-15E,” ujar Dahm, merujuk kepada antara sistem peluru berpandu udara-ke-udara paling berbahaya dalam senjata China yang kini turut digunakan oleh Pakistan.
Dengan perolehan J-35A, Pakistan tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pesawat generasi keempat dalam membina keupayaan sebegini.
Sebaliknya, pesawat stealth itu akan membolehkan Pakistan memanjangkan “radar horizon”, menembusi ruang udara India yang dipertikaikan, dan beroperasi secara rangkaian bersama aset kawalan dan perintah untuk menyerang sasaran jauh ke dalam wilayah musuh, tanpa mengorbankan kelangsungan platform.
Perkembangan ini bakal menguji keupayaan Tentera Udara India yang masih bergantung kepada pesawat Rafale dan Su-30MKI, serta belum memiliki pesawat generasi kelima yang beroperasi secara rasmi.
Walaupun India sedang membangunkan Advanced Medium Combat Aircraft (AMCA), projek itu masih di peringkat prototaip dan dijangka mengambil beberapa tahun sebelum ia boleh dioperasikan—menyebabkan jurang dalam pertahanan udara dan keupayaan pengesanan terhadap pencerobohan halimunan.
Jika berjaya diintegrasikan, J-35A dengan keupayaan radar AESA, sambungan data (datalinks) masa nyata, dan peluru berpandu dalam badan akan memberikan Pakistan keupayaan untuk mencabar dominasi udara India bukan hanya di kawasan sempadan, tetapi juga di wilayah strategik seperti Kashmir, Ladakh dan perairan Laut Arab.

Tambahan pula, kenyataan Wang bahawa J-35A boleh dibina secara besar-besaran dan kos efektif menimbulkan spekulasi bahawa pesanan 40 unit oleh Pakistan mungkin diperluas pada masa hadapan, terutama jika pemasangan tempatan atau penyelenggaraan bersama dilaksanakan—seperti yang dilakukan dalam projek JF-17 Thunder.
Lebih penting lagi, perolehan ini turut mencerminkan trend global yang semakin meningkat terhadap keyakinan terhadap keupayaan senjata buatan China, terutamanya dalam kalangan negara yang inginkan keupayaan generasi kelima tanpa kekangan politik dari Barat.
Ketika ketegangan terus meningkat di rantau Indo-Pasifik dan Asia Selatan kekal sebagai kawasan panas antara kuasa nuklear, kemunculan J-35A dalam inventori China dan Pakistan dijangka akan menambah lapisan baharu kepada imbangan keselamatan serantau.
Dengan China semakin menegaskan doktrin penguasaan udara berasaskan “kill chain” bersepadu dan Pakistan mengikuti jejak yang sama, India mungkin akan mendapati dirinya semakin ketinggalan dalam perlumbaan penguasaan udara moden—di mana keupayaan untuk melihat dulu, menembak dulu dan hilang tanpa dikesan menjadi faktor utama kemenangan.
