Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Mula Bekal Sistem Pertahanan Udara Jarak Jauh HQ-9B Pada Iran ??

Sistem HQ‑9B buatan China dijangka mengukuhkan tameng pertahanan udara Iran dan mencetuskan ketegangan strategik baharu di Timur Tengah.

0 4,322
Iran dilaporkan telah menerima beberapa bateri sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B buatan China, dalam salah satu petanda jelas menunjukkan bahawa Tehran kini menggunakan kepakaran dan teknologi pertahanan China dalam usahanya untuk membina semua sistem pertahanan udaranya selepas peperangan selama 12 hari dengan Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat.
Menurut sumber-sumber Arab yang berkata kepada media rantau itu, sistem pertahanan udara HQ-9B yang mempunyai keupayaan hampir sama atau melebihi sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Russia itu dihantar ke Iran sebaik sahaja gencatan senjata diumumkan pada 24 Jun lalu.
“Iran dipercayai membeli sistem pertahanan udara HQ-9B itu dan sudah menerimanya bateri-bateri sistem pertahanan udara itu. Tehran telah membayarnya menggunakan minyak,” menurut sumber perisikan Arab.
Sistem pertahanan udara HQ-9B itu turut digunakan oleh Pakistan dan telah menyaksikan prestasinya ketika konflik Pakistan-India pada awal Mei lalu.
China merupakan pengimport minyak terbesar Iran dan kedua-dua negara menggunakan pelbagai kaedah perdagangan yang kreatif untuk mengelak daripada sekatan senjata antarabangsa dikenakan terhadap negara Parsi itu.
Media-media Arab menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya menyedari tentang pemindahan sistem pertahanan udara China itu.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat melaporkan bahawa 90 peratus dairpada hasil minyak dan kondensat Iran telah dieksport ke China.
HQ-9B
HQ-9B
Iran didakwa menggunakan beberapa negara pengantara seperti Malaysia untuk mengeksport minyak kepada China.
Setakat ini tidak diketahui berapa banyak bateri sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B buatan China itu telah dipindahkan oleh China ke tangan Tehran.
Selepas peperangan di antara Iran dan Israel, hubungan ketenteraan di antara Tehran dan Beijing dijangka bertambah semakin erat dan petanda-petanda ke arah itu sudah pun kelihatan jelas, dengan perolehan HQ-9B adalah buktinya.
Baru-baru ini, Iran dilaporkan menunjukkan minat yang tinggi untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China selepas Russia dikatakan berdolak-dalik dalam penghantaran pesawat pejuang Su-35 kepadanya.
 Iran dilaporkan berminat untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China yang turut digelar “pembunuh Rafale” berikutan dakwaan kejayaan pesawat pejuang generasi 4.5 itu menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis dalam konflik Pakistan-India awal bulan lepas.
Laporan tentang minat Tehran terhadap pesawat pejuang J-10C itu timbul ketika Menteri Pertahanan Iran Aziz Nasirzadeh berada di Qingdao, China untuk menghadiri mesyuarat Shanghai Cooperation Organisation (SCO) yang dipelopori oleh Russia dan China.
Minat Iran terhadap pesawat pejuang J-10C itu dikatakan semakin meningkat selepas negara itu yang baru sahaja terlibat dalam 12 hari peperangan dengan Israel mulai mempersoalkan sama ada usahanya untuk memiliki pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia akan berhasil selepas tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
HQ-9B
HQ-9B
Tehran dikatakan “menyediakan” pesawat pejuang J-10C itu sebagai alternatif sekiranya usahanya sejak beberapa tahun lalu untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 itu tidak berhasil.
Selain itu, penganalisis ketenteraan antarabangsa mendakwa bahawa Iran tertarik dengan prestasi dan kemampuan ditunjukkan oleh pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan semasa konflik ketenteraan singkat yang berlaku di antara Pakistan dan India pada awal bulan lepas.
Dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E buatan China juga, pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dilaporkan bukan sahaja berjaya menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis, tetapi juga tiga buah pesawat pejuang lain milik India.
Iran kini nampaknya sedang berusaha untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China bagi meningkatkan kemampuan tentera udaranya yang pada ketika ini masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia lebih 50 tahun.
Kegagalan Tentera Udara Iran yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang diperolehinya semasa zaman pemerintahan Shah Iran pada tahun-tahun 60-an dan 70-an serta sistem pertahanan udaranya dalam menangkis serangan udara Israel dalam peperangan selama 12 hari minggu lepas itu, berkemungkinan besar menyebabkan Tehran berfikir dua kali tentang teknologi pertahanan udara yang dimilikinya pada ketika ini.
HQ‑9B ialah evolusi daripada sistem HQ‑9 yang dibangunkan oleh syarikat CPMIEC China, dengan keupayaan jarak pemintasan dianggarkan mencecah 260 kilometer, ketinggian operasi sehingga 27–50 kilometer, kelajuan supersonik melebihi Mach 4.2 hingga 4.7, serta kemampuan menjejak pesawat berprofil radar rendah atau stealth.
Sistem pertahanan udara HQ-9B yang mempunyai jarak operasi sejauh 260 kilometer dan digambarkan setanding dengan sistem S-300 dan S-400 buatan Rusia dalam keupayaannya memintas pesawat, peluru berpandu balistik serta peluru berpandu kruis pada ketinggian dan jarak yang jauh.
J-10CE
J-10CE (credit Hurin92)
Sistem pertahanan udara HQ-9 yang dihasilkan oleh China kini menjadi antara aset strategik terpenting dalam memperkukuh pertahanan udara Pakistan.
HQ-9B, yang sering dibandingkan dengan sistem pertahanan udara S-300 dan S-400 buatan Rusia, direka untuk mengesan, mengunci dan memusnahkan pelbagai ancaman termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu balistik serta peluru berpandu kruis pada jarak jauh dan altitud tinggi.
Antara kelebihan utama sistem HQ-9 adalah radar susunan fasa aktif (phased array radar) yang berupaya mengesan sasaran sejauh lebih 300 kilometer serta mengendalikan pelbagai sasaran serentak dalam satu masa.
Versi terbaharu sistem ini, HQ-9B, mempunyai beberapa penambahbaikan ketara berbanding model asalnya.
HQ-9B dilengkapi dengan peluru berpandu darat-ke-udara (SAM) jarak jauh yang mampu memintas sasaran pada jarak maksimum sehingga 260 kilometer, bergantung kepada jenis sasaran dan profil penerbangannya.
Sistem radar HQ-9B dikatakan berupaya mengesan pesawat pejuang dengan jejak radar rendah, pesawat amaran awal (AWACS), peluru berpandu balistik jarak sederhana serta peluru berpandu kruis, termasuk di persekitaran peperangan elektronik.
Selain itu, HQ-9B boleh menyerang sasaran pada altitud antara 500 meter sehingga 30 kilometer, menjadikannya mampu memintas sasaran di pelbagai ketinggian.
Setiap bateri HQ-9B biasanya terdiri daripada:
  • Sistem radar kawalan tembakan berprestasi tinggi dengan susunan radar fasa aktif.
  • Pelancar peluru berpandu, lazimnya sehingga 8 pelancar untuk setiap unit, dengan setiap pelancar membawa empat peluru berpandu.
  • Kenderaan sokongan logistik termasuk kenderaan pengangkut-pengisi (transporter erector launcher, TEL) dan pusat kawalan operasi bergerak.
Pakistan mula memperoleh sistem HQ-9B ini daripada China pada tahun 2021 sebagai sebahagian daripada usaha Islamabad untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udaranya, terutamanya selepas peningkatan ketegangan di rantau Asia Selatan.
Keupayaan HQ-9B untuk beroperasi dalam persekitaran peperangan elektronik dan gangguan radar turut menjadikannya antara sistem pertahanan udara paling moden di rantau ini.
Pemerhati keselamatan serantau berpandangan dengan kehadiran HQ‑9B, Iran akan lebih berkeupayaan melindungi infrastruktur ketenteraannya  yang sering menjadi sasaran misi risikan dan surgical strikes oleh Israel.
Salah satu aspek paling kritikal dalam konteks HQ‑9B ini ialah keupayaannya memintas sasaran seperti pesawat pejuang halimunan F‑35 milik Israel dan Amerika Syarikat, yang sebelum ini dikatakan mempunyai kebebasan relatif untuk menembusi ruang udara Iran.
Walaupun sistem Bavar‑373 Iran sendiri pernah mendakwa berjaya mengesan pesawat F‑35, perolehan HQ‑9B akan menambah kebolehpercayaan dalam pengesanan sasaran berprofil radar rendah kerana radar AESA HQ‑9B direka untuk menangani spektrum Electronic Counter Measures (ECM) moden.
Sebaliknya, kehadiran HQ‑9B dijangka memaksa Israel dan sekutunya untuk menilai semula kos risiko setiap serangan udara ke atas Iran kerana setiap operasi kini berpotensi berdepan pencegahan daripada sistem pelbagai lapisan.
Bagi negara Teluk seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, langkah Iran memodenkan perisai udaranya ini dijangka mencetuskan kebimbangan bahawa dominasi udara mereka juga mungkin terjejas jika teknologi seumpamanya diperluas ke rangkaian kumpulan-kumpulan proksi yang didokong Tehran.
Sebagai contoh, jika HQ‑9B atau komponennya diseludup ke Yemen atau Lubnan melalui kumpulan Hezbollah, ia akan memperluaskan zon ‘A2/AD’ (Anti-Access/Area Denial) yang menjadi ancaman langsung ke atas laluan penerbangan strategik di Teluk Parsi, Laut Merah mahupun di Mediterranean Timur.
Selain itu, perolehan HQ‑9B turut menghantar mesej politik bahawa Iran kini lebih cenderung memperkukuh pakatan strategiknya dengan China, berbanding bergantung semata-mata pada Rusia yang sebelum ini menjadi pembekal sistem pertahanan udara S‑300.
Dalam konteks geopolitik, Beijing berpeluang menempatkan dirinya sebagai rakan industri pertahanan yang bukan sahaja membekalkan senjata tetapi juga memberi kepastian sokongan teknologi, terutamanya pada era ketidaktentuan hubungan Moscow–Tehran akibat konflik di Ukraine.

SNIPPET

Iran perkenal HQ‑9B buatan China untuk memperkukuh perlindungan ruang udara strategik negara, meningkatkan keupayaan menangkis ancaman pesawat halimunan dan mengubah keseimbangan kuasa di Timur Tengah.

Leave a Reply

OSZAR »