Iran Masih Miliki Bahan Cukup Untuk Sembilan Bom Nuklear, Kemudahan Bawah Tanah Tidak Terjejas
Isu utama adalah stok simpanan uranium Iran yang dianggarkan berjumlah 400 kilogram pada kadar pengayaan 60 peratus U-235—jumlah yang mencukupi untuk menghasilkan antara sembilan hingga sepuluh kepala peledak nuklear sekiranya diperkayakan ke tahap senjata (weapons-grade).
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Di sebalik kempen ketenteraan besar-besaran Amerika Syarikat-Israel dinamakan “RISING LION” dan “MIDNIGHT HAMMER”, hakikatnya kedua-dua operasi itu telah gagal mencapai matlamat utamanya: memusnahkan stok Uranium Tahap Pengayaan Tinggi (Highly Enriched Uranium – HEU) Iran serta infrastruktur bawah tanah yang menyokong program nuklear republik Islam itu.
Pakar kawalan senjata nuklear tersohor, Dr. Jeffrey Lewis dari Middlebury Institute dan James Martin Center for Non-Proliferation Studies, menyifatkan operasi ini sebagai kegagalan besar: “Mengapa saya langsung tidak kagum dengan serangan ini? Israel dan Amerika Syarikat telah gagal menyasarkan elemen penting dalam bahan nuklear dan infrastruktur pengeluaran Iran. RISING LION dan MIDNIGHT HAMMER mungkin hebat secara taktikal, tetapi berpotensi menjadi kegagalan strategik.”
Kegagalan ini tidak boleh dipandang ringan.
Isu utama adalah stok simpanan uranium Iran yang dianggarkan berjumlah 400 kilogram pada kadar pengayaan 60 peratus U-235—jumlah yang mencukupi untuk menghasilkan antara sembilan hingga sepuluh kepala peledak nuklear sekiranya diperkayakan ke tahap senjata (weapons-grade).
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sendiri menyebut stok uranium ini sebagai sebab utama serangan dilakukan: “Iran telah menghasilkan Uranium Diperkaya Tahap Tinggi (HEU) secukupnya untuk sembilan bom atom—sembilan.”
Penilaian perisikan menunjukkan bahawa uranium (HEU) ini disimpan dalam terowong bawah tanah berhampiran Kemudahan Penukaran Uranium (Uranium Conversion Facility) di Isfahan.
Namun, meskipun serangan udara besar-besaran dilancarkan ke atas kemudahan tersebut, tiada bukti kukuh menunjukkan sebarang usaha dibuat untuk memusnahkan terowong tersebut atau bahan nuklear yang tersimpan di dalamnya.

Apa yang lebih membimbangkan, lokasi semasa uranium tahap tinggi ini masih tidak diketahui.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, mengesahkan bahawa Iran telah memindahkan uranium tersebut (HEU) sebelum serangan berlaku.
Pada masa yang sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio mendakwa bahawa “tiada apa boleh bergerak” dalam Iran, satu kenyataan yang kini dinafikan melalui bukti satelit dan imejan visual yang menunjukkan pergerakan jentera berat dan lori beberapa hari sebelum serangan.
Kenderaan berat ini dikesan di kawasan Isfahan, berkemungkinan digunakan untuk menutup pintu masuk terowong atau memindahkan komponen nuklear sensitif.
Aktiviti serupa turut dikesan di Kemudahan Pengayaan Bahan Api Fordow (Fuel Enrichment Plant), dengan pintu masuk dilaporkan ditimbus dengan tanah, menunjukkan usaha terancang Iran untuk melindungi aset strategik mereka.
Anggapan bahawa Iran tidak mampu bertindak balas dengan pantas atau tidak berdaya dari segi logistik kini terbukti tidak tepat.
Pihak pentadbiran Amerika Syarikat pula mendakwa bahawa serangan tersebut telah berjaya melumpuhkan keupayaan Iran untuk memperkayakan uranium atau menukarnya menjadi logam—langkah penting dalam menjadikan uranium tersebut bersifat senjata.

Namun begitu, Dr. Lewis menolak dakwaan tersebut dengan tegas: “ITU TIDAK BENAR.”
Beliau mengakui bahawa tapak pengayaan di Qom (Fordow Fuel Enrichment Plant) dan Natanz (Pilot Fuel Enrichment Plant dan Fuel Enrichment Plant) mungkin mengalami kerosakan yang ketara, tetapi kompleks bawah tanah berskala besar berhampiran Natanz—yang dipercayai menempatkan barisan pengeluaran sentrifug Iran—langsung tidak terjejas.
Kemudahan bawah tanah ini, yang dipindahkan ke kawasan berbukit pada tahun 2022 untuk mengelakkan sabotaj, dianggarkan seluas lebih 10,000 meter persegi.
Struktur yang dibina jauh di bawah tanah ini dilindungi sepenuhnya daripada kebanyakan senjata penembus bunker konvensional, dan fungsi sebenar di dalamnya masih belum diketahui sepenuhnya, walaupun para pakar percaya ia mungkin juga menempatkan aktiviti pengayaan rahsia.
Lebih membimbangkan, Iran juga telah memaklumkan kepada IAEA tentang pembinaan kemudahan pengayaan baharu di lokasi selamat berhampiran Isfahan.
Agensi itu dilaporkan akan menjalankan pemeriksaan sebelum serangan berlaku.


Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk menunjukkan kemudahan itu telah disasarkan atau dimusnahkan.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan besar tentang tahap keberkesanan operasi ketenteraan tersebut.
Keupayaan Iran untuk mengekalkan infrastruktur nuklearnya menandakan bahawa pendekatan ketenteraan semata-mata tidak mencukupi untuk melumpuhkan program nuklear republik itu, terutamanya apabila elemen-elemen penting tertanam di bawah permukaan bumi.
Dr. Lewis menyatakan: “Ini bermakna Iran masih menyimpan 400 kg uranium tahap pengayaan 60 peratus masih mempunyai kemampuan menghasilkan sentrifug, dan sekurang-kurangnya satu atau dua tapak pengayaan bawah tanah yang tidak dikenal pasti. Belum termasuk lagi tapak rahsia yang sering disebut oleh penentang JCPOA sebelum ini.”
Jika Iran membuat keputusan untuk mempercepatkan program pembinaan senjata nuklear, garis masa untuk menghasilkan senjata boleh menjadi sangat singkat.
Dengan keupayaan semasa, Iran mampu memasang sekitar 1.5 rangkaian sentrifug IR-6 setiap minggu.
Dalam masa enam minggu, ia boleh mempunyai sembilan rangkaian.

Rangkaian ini boleh memperkayakan kesemua 400 kg uranium kepada tahap senjata dalam tempoh kira-kira 60 hari.
Keseluruhannya, Iran boleh berada di ambang menghasilkan bahan letupan nuklear dalam masa kurang lima bulan.
Garis masa ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam konteks ketegangan serantau melibatkan Israel, Amerika Syarikat, dan negara-negara Arab Teluk.
Apa yang lebih menyedihkan, pencapaian operasi ketenteraan ini jauh lebih rendah berbanding apa yang pernah dicapai melalui Perjanjian Nuklear JCPOA.
Dr. Lewis menyatakan secara terbuka: “RISING LION dan MIDNIGHT HAMMER tidak memperlahankan program Iran sebanyak yang dilakukan oleh JCPOA. Kita menilai diplomasi dengan piawaian yang lebih tinggi daripada serangan.”
Kenyataan ini mencerminkan hakikat bahawa diplomasi—walaupun tidak popular dari segi politik—mampu memberikan hasil yang lebih berkekalan berbanding pendekatan ketenteraan.
Ironinya, mereka yang dahulu menentang JCPOA kerana klausa tamat tempohnya, kini berpuas hati dengan kelewatan beberapa bulan yang dicapai melalui operasi ketenteraan.
Hakikatnya, matlamat sebenar serangan ini mungkin bukan untuk menghapuskan senjata nuklear Iran, tetapi untuk mendorong perubahan rejim.
Iran kini dipercayai masih memiliki stok 400 kg HEU, serta beberapa kemudahan bawah tanah yang belum diserang—malah mungkin lebih dalam daripada Fordow—dan kekal beroperasi sepenuhnya.
