Tentera Bangladesh Laksana Ujian Penembakan Sistem Roket Berganda TRG-300 Kaplan Buatan Turkiye
Tentera Darat Bangladesh menandatangani kontrak penting pertama untuk mendapatkan sistem peluru berpandu taktikal permukaan ke permukaan TRG-300/230 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan, pada tahun 2019.
Program pemodenan tentera Bangladesh di bawah pelan jangka panjang Forces Goal 2030 melonjak ke tahap yang lebih tinggi apabila Angkatan Tentera Bangladesh berjaya melaksanakan ujian penembakan serta pengoperasian penuh sistem pelancar roket berganda TRG-300 Kaplan buatan Turkiye.
Sistem persenjataan canggih ini sudah terbukti keberkesanannya di medan sebenar termasuk di Iraq dan Syria digunakan oleh tentera Turkiye, menjadikannya antara aset artileri berpandu paling berkeupayaan di rantau ini.
Tentera Darat Bangladesh menandatangani kontrak penting untuk mendapatkan sistem MLRS TRG-300/230 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan, pada tahun 2019.
Langkah tersebut menjadikan Dhaka antara pelanggan eksport terawal yang menerima sistem MLRS yang diiktiraf dalam operasi sebenar.
Menjelang Jun 2021, bateri pertama TRG-300 Kaplan telah mula tiba di Bangladesh, menandakan permulaan era baharu artileri jarak jauh yang lebih tepat, mudah digerakkan dan disokong teknologi C4ISR.
Sejak itu, Tentera Darat Bangladesh terus memperkukuh keupayaan mereka dengan beberapa penghantaran tambahan sehingga dianggarkan kini memiliki sekurang-kurangnya 18 pelancar, trak muatan semula, pos kawalan bergerak dan sokongan logistik lain.
Setiap sistem MLRS TRG-300 buatan Turkiye ini dilengkapi dengan rangka kerja perintah dan kawalan moden yang membolehkan pemerolehan sasaran secara masa nyata, perancangan misi lebih cepat dan mobiliti taktikal di medan perang — jauh berbeza berbanding sistem artileri lama yang kurang keupayaan dalam membedil sasaran dengan tepat.

Perolehan sistem TRG-300 Kaplan ini dianggarkan bernilai sekitar US$60 juta atau kira-kira RM283 juta sekali gus menunjukkan komitmen besar Dhaka bukan hanya untuk memodenkan ketumbukan roket artileri tetapi juga memperkukuh kerjasama pertahanan strategik dengan Ankara.
Hubungan pertahanan yang semakin erat antara Bangladesh dan Turkiye ini kini diiktiraf sebagai antara hubungan keselamatan dua hala paling dinamik di Asia Selatan.
Apa yang membezakan TRG-300 Kaplan ialah gabungan kuasa letupan yang besar dengan tahap ketepatan yang tinggi.
Sistem MLRS ini dibangunkan berdasarkan pengalaman TR-300 Kasirga Roketsan yang terbukti di zon konflik, dengan kepala peledak berpecah berkepadatan tinggi seberat sehingga 190 kilogram mampu memusnahkan sasaran yang tersebar luas dengan taburan bebola keluli maut.
Dengan sistem panduan berkembar INS/GNSS, TRG-300 Kaplan mampu mencapai tahap Circular Error Probable (CEP) kurang 10 meter sahaja, memberikan keyakinan kepada artileri Bangladesh untuk memusnahkan sasaran bernilai tinggi seperti pertahanan udara musuh, pusat logistik dan pos perintah di kawasan musuh yang jauh ke dalam.
Keupayaan bergerak pantas di medan perang juga diperkuatkan oleh chasis trak taktikal 6×6 KamAZ atau MAN yang lasak, membolehkan taktik ‘tembak dan lari’ untuk mengelak daripada serangan balas artileri musuh.
Satu lagi elemen penting TRG-300 Kaplan ialah ketahanannya terhadap ancaman peperangan elektronik, satu kelebihan yang amat diperlukan dalam spektrum elektromagnetik moden yang semakin dipenuhi gangguan GPS dan serangan ‘spoofing’.

Bagaimanapun, hasrat Dhaka untuk membina rantaian ‘kill chain’ moden tidak terhenti sekadar pada sistem MLRS.
Secara senyap-senyap, Angkatan Tentera Bangladesh juga telah memperoleh 12 buah dron Bayraktar TB2 Medium Altitude Long Endurance (MALE) buatan Turkiye, dengan enam buah sudah pun beroperasi sejak 2023 manakala baki enam lagi dijangka tiba dalam masa terdekat.
Dron Bayraktar TB2 yang diletakkan di bawah rejimen ISR Tentera Darat Bangladesh ini telah meningkatkan keupayaan ‘mata di langit’ Dhaka, memberikan maklumat risikan, pengawasan dan peninjauan secara masa nyata — di samping keupayaan untuk membimbing serangan roket berpanduan tepat seperti TRG-300 dengan ketepatan maksimum.
Pengoperasian TB2 oleh Bangladesh menjadi antara yang menonjol di Asia Selatan kerana masa perolehannya yang hampir serentak dengan Pakistan.
Pakistan sebelum ini memperoleh TB2 untuk penempatan strategik berhampiran sempadan mereka dengan India.
Pihak Dhaka pula menegaskan bahawa dron TB2 mereka hanya digunakan untuk tujuan pertahanan dan operasi ISR semata-mata.
Namun demikian, kehadiran armada TB2 di langit Bangladesh telah menimbulkan kebimbangan serius di New Delhi.

Laporan pada penghujung tahun 2024 mengesahkan bahawa India mengeluarkan ancaman untuk menembak jatuh mana-mana dron TB2 Bangladesh sekiranya ia terbang terlalu dekat dengan kawasan sempadan sensitif di Meghalaya, Tripura atau Mizoram.
Seorang pegawai kanan tentera India dipetik media tempatan sebagai berkata bahawa “tidak ada dron dibenarkan terbang dalam jarak 10 kilometer dari sempadan India-Bangladesh berdasarkan SOP sedia ada.”
Ancaman ini timbul selepas sebuah dron TB2 Bangladesh — yang dikenal pasti dengan kod transponder TB2R1071 — dikesan terbang berhampiran sempadan, memaksa pihak berkuasa India memperketat kawalan ruang udara di kawasan sempadan.
Menurut pelbagai sumber terbuka, dron berkenaan dipercayai berlepas dari Pangkalan Udara Tejgaon di Dhaka dan dioperasikan oleh Batalion ISR Ke-67 Tentera Darat Bangladesh ketika melaksanakan misi peninjauan rutin.
Bagi Tentera Darat Bangladesh, integrasi di antara TRG-300 Kaplan dan dron Bayraktar TB2 ini bukan sekadar penambahan aset tetapi membawa perubahan doktrin yang signifikan — menjurus kepada konsep ‘sensor-to-shooter’ seperti yang dibuktikan oleh Azerbaijan dalam konflik Nagorno-Karabakh pada 2020.
Kempen Azerbaijan itu membuktikan bagaimana keupayaan UAV risikan masa nyata, digabungkan dengan roket berpanduan tepat, dapat memusnahkan sasaran kubu diperkukuhkan dan ancaman bergerak dengan pendedahan minimum.
Langkah Bangladesh mengadaptasi rantaian ‘kill chain’ bersepadu ini memperlihatkan pengajaran strategik daripada konflik moden dan menunjukkan kematangan Forces Goal 2030 ketika ia memasuki fasa paling kritikal.
